Thursday, 25 October 2012


Perutusan Aidil Adha 1433H – Pengorbanan menuju keredaan Allah SWT

Dalam agama kita sendiri, diminta orang Islam meraikan hari raya dua kali setahun, sebutan raya ini menimbulkan rasa gembira, suka dan meriah di kalangan anak-anak dan orang-orang tua sekali pun.  Hatta bila kita raya, kita tidak dibenarkan puasa, kalau kita puasa ertinya kita tidak sudi menerima ‘rukhsah’ dari Allah. Apabila tidak boleh puasa kita dikehendaki makan dan minum.

Di samping itu juga kita diminta untuk memberi makan kepada fakir miskin. Ketika menyambut Raya Puasa, sebelumnya kita ada zakat fitrah untuk diberi kepada orang yang layak menerimanya. Sementara pada Hari Raya Haji ini pula, kita diminta untuk melakukan korban. Firman Allah SWT:
 
”Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Makkah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta yang tersebut ada kebaikan bagi kamu; oleh itu sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya maka apabila ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya, dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami mudahkan dia untuk kamu (menguasainya dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur.”(Surah Al-Hajj ayat 36)
Bermakna kita boleh makan, tetapi kita diminta untuk bagi-bagikan daging tersebut kepada fakir miskin. Tradisi kita di Kelantan, kita buat gulai atau bagi mentah-mentah sahaja akan daging korban itu. Apa pun, ada kelebihan bila kita bagi-bagikan daging mentah kerana orang yang menerima itu akan makan seisi keluarga atau semua anak beranak boleh merasai. Walaupun daging yang kita bagi itu boleh jadi sekeping dua sahaja, tetapi sebuah rumah (seisi keluarga) boleh menikmati dngan pelbagai masakan yang digemari.

Ketiganya, bila Hari Raya Korban, kita diingatkan balik dengan cerita Nabi Ibrahim AS, iaitu orang pertama melakukan korban. Sebagaimana firman-Nya:
 
”Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: “Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu; maka fikirkanlah apa pendapatmu?”. Anaknya menjawab: “Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu; Insya Allah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar”.(Surah Al-Soffat ayat 102)
Kisahnya ialah suatu hari Allah SWT beri mimpi kepada Nabi Ibrahim untuk menyembelih anaknya. Suatu tugas yang amat susah, kerana sembelih anak bukan seperti menyembelih ayam atau lembu-kambing. Namun apabila Allah suruh sesuatu, maka bagaimana susah sekalipun kita kena lakukan. Kemudian atas kesediaan (ketaatan) Nabi Ibrahim itu, maka Allah telah menggantikannya dengan seekor binatang (kibas).
“Dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar.” (Surah Al-Asoffat 107),
Pengajaran besar di sebalik peristiwa terebut ialah ketaatan yang tinggi terhadap perintah Allah, meskipun ia berlaku menerusi mimpi. Nilai ketaatan itu boleh dilihat atas kerana perintah menyembelih anak bukannya sembelihan kambing-biri-biri atau lembu-kerbau. Justeru kita kena ingat balik bahawa Nabi Ibrahim disuruh sembelih anak hanya dalam mimpi sahaja, bukan melalui wahyu yang diturun khusus untuk Nabi Ibrahim berkorban.

Atas sebab ketaatan itulah, lalu Nabi Ibrahim bawa Nabi Ismail dari Mekkah menuju ke Mina, boleh jadi sambil berjalan, sambil menghiburkan hati mengenangkan kasih sayangnya terhadap anaknya. Apa pun Allah SWT Maha Mengetahui atas perasaan itu. Sebagaimana firman-Nya:
 
“Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu”. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan.”(Surah Al-Asoffat 105)
Ini bezanya kita orang kampung (orang awam) dibandingkan dengan seorang nabi. Bagi Nabi Ibrahim, mimpinya adalah wahyu. Sementara kita orang kampung bila bermimpi, kita kena tapis dahulu baik atau tidak. Kalau bermimpi benda baik, kita kita sebut ‘Alhamdullah’ dan kalau boleh kita ambil air sembahyang atau bertakbir pada ketika itu supaya Allah benarkan mimpi tersebut.
Apa yang perlu kita ambil pengajaran dan pegangan ialah pengorbanan yang ditunjukkan oleh Nabi Ibrahim ini sangat perlu dituruti sampai khiamat sekalipun. Begitu juga dalam masa kita berhari raya, kita diminta bertakbir dan antaranya ada perkataan “wahazamal ahzab bawahdah” yang menunjukkan kekuasaan Allah yang memporak-perandakan askar Ahzab. Ahzab adalah nama satu peperangan yang berlaku di antara kafir Quraisy Mekah pada tahun kelima Hijrah. Makna Ahzab ialah gandingan parti-parti, atau group-group, atau kumpulan-kumpulan daripada pemimpin puak kafir Quraisy termasuk Abu Supian yang di kerah untuk melawan Nabi Muhammad bagi menghalang pengaruh Nabi Muhammad yang semakin berkembang sehingga membimbangkan mereka. Askar Ahzab tadi berkumpul untuk berperang di sebuah tempat di tepi Madinah. Sementara pihak Nabi Muhammad bersama sahabat-sahabat bermesyuarat untuk mencari jalan bagaimana untuk menghadapi askar Ahzab itu.

Takdir Allah SWT, seorang sahabat bernama Salman Parisi (asalnya orang Iran bukan orang Arab) telah memberi pandangan: “Ya Rasulullah orang kami Parsi di Iran kalau ada masalah perang satu cara yang kami lakukan adalah gali parit.” Lalu diterima oleh Nabi Muhammad. Maka perang itu dinamai Ahzab dan ada pula menyebutnya perang Khandak mengambil sempena peristiwa Nabi sendiri yang gali parit.

Sementara ketika peristiwa gali parit itu ada sahabat menemui seketul batu besar yang tidak boleh dicakul, maka sahabat Nabi pergi jumpa Nabi: “Ya Rasulullah ada batu besar, tidak boleh digali.” Maka Nabi pegang cangkul sambil bertakbir memukul batu itu, lalu keluar percikan api dari batu itu, bercahaya. Pada ketika menggali itu, pengorbanan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh sahabat-sahabat Nabi amat hebat sehingga ada yang tidak makan. Apa pun, ceritanya cukup panjang dan boleh mengalir air mata apabila kita hayati balik cerita itu.

Satu lagi peristiwa daripada sejarah peperangan, ada seorang sahabat bernama Mas’ud Abu Naim Asjaim yang pada awalnya dikerah oleh Abu Supian (puak kafir Quraisy) untuk berperang dengan Nabi Muhammad. Apa pun, Mas’ud bertanya balik apa salahnya Muhammad, sedangkan Muhamad seorang yang baik dan dikenali sebagai “Al-Amin”––orang yang penuh amanah. Atas persoalan itu, terlintas difikirannya untuk berjumpa dengan Rasulullah seorang diri, lalu dia membuat pengakuan: “Ya Rasulullah aku bersalah, benda apa yang boleh aku lakukan. Aku baru sahaja masuk Islam dan orang kampung aku belum tahu lagi. Aku dikerah, tetapi tiada alasan untuk bersama mereka yang mahu menyerang Rasulullah. Sedangkan di Mekah, Rasulullah adalah di kalangan orang yang baik-baik, kerana orang Mekah sering meletakan barang emas di rumah Rasulullah.” Lalu Mas’ud memohon maaf kepada Rasulullah dan bertanya benda apa yang dapat aku lakukan untuk menebus dosa yang aku lakukan.

Atas pengakuan jujur Mas’ud itu, Nabi Muhammad SAW telah beri mandat kepadanya supaya menggunakan akal fikiran untuk memusnahkan musuh daripada Mekah. Mandat itu dilaksanakan oleh Mas’ud dengan penuh kebijaksanaan.  Lalu Mas’ud telah pergi seorang diri dan melaga-lagakan puak-puak Yahudi yang dahulunya berjanji setia dengan Nabi Muhammad––kalau  kamu kena serangan kami akan tolong, dan kalau kami kena serangan kamu kena tolong. Akhirnya puak askar Abu Sufian telah berpecah-belah dan Allah kirimkan angin yang kencang, malam yang gelap pekat, udara yang sangat sejuk sehingga semua khemah terbalik. Kemudian Abu Sufian telah mengarahkan askarnya balik dan tidak jadi berperang. Ketika itu Nabi ambil tindakan kepada puak Yahudi kerana mengkhianati perjanjian dan menghalau mereka dari Madinah.

Di atas pengajaran dari sejarah yang dipaparkan ini, maka sambutlah Hari Raya Haji ini dengan rasa syukur, dan janganlah kita terlalu gembira. Kita kena ingat akan kegigihan (pengorbanan) Nabi Ibrahim AS dan Nabi Muhammad SAW itu dan jadikanlah pendoman untuk kita menjadi insan yang bernar-benar taat dan patuh kepada-Nya.

Semoga kita mencapai keredaan Allah di akhirat kelak di atas kegigihan, keikhlasan, serta integriti kita mengambil dan mengamalkan segala kebaikan daripadanya, demi mencari keredaan Allah dan mendapat layanan baik di dalam kubur dan di padang Masyar kelak.

(Perutusan yang disesuaikan dari rakaman RTV Kelantan pada 23 Oktober 2012 bersempena Sambutan Aidil Adha pada 10 Zulhijah 1443 bersamaan 26 Oktober 2012).

Fiqh Ibadah korban


Ibadat korban di Kemboja memberi peluang umat Islam di sana menikmati daging sekurang-kurangnya sekali setahun.


HUKUM berkorban adalah sunat muakkad (yang dituntut) bagi orang yang mempunyai lebihan dan kemudahan harta. Demikian pendapat majoriti ulama termasuklah sahabat besar seperti Abu Bakar as-Siddiq r.a, Umar al-Khattab r.a,  Ibn Mas'ud r.a dan lain-lain, kecuali Imam Abu Hanifah yang berpendapat berkorban wajib bagi mereka yang berkemampuan.

Bagi menggandakan pahala korban, seseorang yang sudah berniat awal untuk melakukannya digalakkan menahan diri daripada memotong rambut dan kuku. Hal ini berdasarkan hadis riwayat Muslim yang sohih, ertinya:-
  • “Barangsiapa yang ingin menyembelih (berkorban), dan telah masuk 10 awal (Zulhijjah), maka janganlah dia memotong apa-apa rambut atau kukunya  sehinggalah sampai korban dilaksanakan." (Muslim, 3/39)
Justeru, majoriti ulama daripada mazhab Maliki, Syafie dan sebahagian Hanbali menyatakan makruh hukumnya bagi melanggarnya.

Bagaimanapun, tiadalah termasuk dalam kategori haram kerana Aisyah r.a pernah meriwayatkan bahawa beliau pernah menempah (menandakan dan membeli binatang) dan diniatkan untuk dilakukan Qurban, dan Aisyah r.a menyebutkan, tiadalah Nabi SAW mengharamkan apa-apa (semasa menunggu masa untuk menyembelih) sehinggalah sampai waktu sembelihan. Hadis tersebut adalah sohih riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Oleh itu, adalah dibenarkan untuk memotong kuku jika boleh mengganggu kesempurnaan wuduk dan lain-lain kewajiban.

Korban dengan Bayar Sedekah Duit Tanpa Wakil Sembelihan


Tidak dibenarkan juga berkorban hanya dengan membayar harganya atau membeli daging lembu yang telah disembelih daripada pasar lalu disedekahkan atas niat Qurban. Tatkala itu, pemberian daging dianggap sedekah biasa sahaja dan bukannya korban yang disyariatkan pada hari raya Aidiladha.

Pahala korban adalah jauh lebih hebat daripada bersedekah harganya sahaja. Hal ini adalah fatwa oleh majoriti ahli ilmu seperti Imam Abu Hanifah, Malik, Syafie, Ahmad dan lain-lain.

Adalah diingatkan jua agar meniatkan korban itu adalah kerana Allah SWT semata-mata, menuruti sunnah Nabi SAW dan Nabi Ibrahim a.s dan bukannya untuk menyedekahkan daging atau lain-lain niat. Firman Allah yang bermaksud:

  • “Daging-daging unta dan darahnya itu sekali-kali tidak dapat mencapai (keredaan) Allah, tetapi ketakwaan daripada kamulah yang dapat mencapainya. Demikianlah Allah telah menundukkannya untuk kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan berilah khabar gembira kepada orang-orang yang berbuat baik.” (Al-Hajj : 37)

Kongsi Lembu

Harus hukumnya menurut majoriti ulama untuk berkongsi seekor lembu dengan dibahagikan kepada tujuh bahagian atau seekor kambing berdasarkan hadis Nabi yang diriwayatkan oleh Jabir r.a. Adalah digalakkan juga untuk menyembelih sendiri (jika berkemampuan) atau menghadiri majlis sembelihan.

Sebuah riwayat hadis pernah mencatatkan nasihat Nabi SAW kepada Fatimah yang ingin berkorban. Ertinya;
  • "Hadirkanlah dirimu pada waktu sembelihan, diampunkan bagimu daripada titisan darah sembelihanmu yang pertama"

Mematahkan Tulang Dan Tanduk Binatang Korban


Majoriti ulama mengharuskannya manakala tegahan untuk mematahkan tulang hanya dalam hal akikah dengan doa ia menjadi kebaikan kepada si bayi berdasarkan hadith riwayat Al-Bayhaqi. Maksudnya;

  • “Sunnah adalah dua ekor kambing bagi anak lelaki dan seekor bagi perempuan, dimasak dan tiada dipecahkan tulangnya.” ( Riwayat Al-Bayhaqi dan Al-Hakim)
Namun tiada sebarang nas atau dalil yang menegah dalam bab sembelihan korban.

Binatang Terbaik untuk Korban

Yang terbaik adalah unta, diikuti oleh lembu, kerbau, kemudian biri-biri, kambing dan jika tidak mampu bolehlah 1/7 dari unta, lembu, kerbau.

Yang terbaik sudah tentulah yang paling banyak dagingnya maka lebih ramai mendapat merasai dan manfaatnya.

Korban di Luar Kawasan

Hukum asal, yang terbaik adalah sembelih dengan tangan sendiri di dalam kawasan bagi manfaat orang sekeliling. Namun, diharuskan mewakilkan seseorang menyembelih di luar kawasan kerana hukum daging Qurban boleh disimpan dan diagihkan kepada sesiapa jua sama ada di dalam kawasan atau mereka yang di luar.

Namun, ulama Mazhab Shafi’e tidak membenarkan dipindah keluar kawasan jika di dalam kawasan masih terdapat yang memerlukan. Demikian pendapat sebahagian ulama kontemporari (Ibn Uthaimin & Majlis Fatwa Kuwait) kerana kehilangan maslahat sebenar daripada udhiyyah. Bayangkan apabila kita mewakilkan seseorang lain melaksanakan korban itu sudah menyebabkan kita terluput daripada melaksanakan sunnah sembelihan dengan tangan sendiri sebagaimana Rasulullah tidak pernah mewakilkan sembelihan baginda kepada orang lain.

Malah sewaktu hari raya korban berlangsung, bagi mereka yang mewakilkan kepada pihak lain, apakah yang dapat mereka rasakan daripada ibadah korban kecuali hanya seolah-olah menyedekahkan wang sahaja, sepatutnya korban melebihi dari hanya sekadar sedekah wang dan makanan. Korban adalah suatu ibadah khas menghidupkan syiar dalam komuniti dan diri.

Gabung Korban dan Akikah

Mazhab Syafi’e, Maliki dan Pandangan Ahmad: Tidak boleh kerana maksud keduanya berbeza. Korban objektifnya untuk diri dan menaikkan syiar Allah, manakala akikah adalah tanda kesyukuran atas kurniaan anak. Imam Ibn Hajar Al-Haithami Al-Syafie, menyatakan bahawa - jika diniatkan seekor kambing untuk korban dan akikah sekaligus, tiada diperoleh salah satu antara keduanya, kerana keduanya sunnah yang maqsudah atau khas pada tujuan tertentu.

Sementara itu, Mazhab Hanafi, Pandangan Ahmad, al-Hasan Basri, Ibn Sirin dan Qatadah serta Majlis Fatwa Kuwait - Harus digabung semua dengan niat korban atau sebahagian korban dan sebahagian akikah.

Pandangan yang terpilih adalah tidak menggabungkannya jika punyai kemampuan.

Pembahagian Daging

Daging korban yang telah siap dilapah bolehlah dibahagikan seperti berikut :
1/3 (sepertiga) kepada tuan rumah yang berkorban,
1/3 (sepertiga) kepada fakir miskin termasuklah jirannya dan saudara mara dan
1/3 (sepertiga) lagi bagi sesiapa yang memintanya.

Agihan ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud;

  • "Dan makanlah ia, dan berikanlah ia kepada orang yang susah dan fakir." (Al-Haj : 28)
dan juga firman Allah SWT yang bermaksud;

  • "Dan makanlah ia, dan berikanlah kepada orang yang memintanya dan yang tidak memintanya" (Al-Haj : 36)

Inilah yang dilakukan oleh Nabi SAW sebagaimana riwayat Ibn Abbas r.a dan Ibn Umar r.a. Namun demikian harus (dibenarkan) untuk tidak mengikut cara pembahagian ini samada untuk makan keseluruhannya atau kebanyakkannya.

Upah kepada Tukang Sembelih dan Lapah Serta Jual Daging Qurban

Dilarang memberikan tukang-tukang lapah dan penyembelih upah atas usahanya (iaitu dengan ditetapkan dari awal), Namun, harus jika dia termasuk daripada kalangan fakir miskin atau diberikan secara sukarela orang ramai sebagai hadiah. Hal ini berdasarkan sebuah hadis yang bermaksud;
  • “Rasulullah mengarahkan aku agar tidak memberi pelapah sesuatu apa (upah) pun.” ( Riwayat Al-Bukhari)
Namun, boleh diberikan daging korban sebagaimana orang lain.

Tidak dibenarkan juga sepakat ulama untuk menjual dagingnya. Namun tidak sepakat berkenaan penjualan kulit, bulunya dan tulang hasil Korban. Majoriti mazhab termasuk Syafie tidak membenarkan.

Dibenarkan untuk menyimpan daging korban walaupun melebihi 3 hari berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Muslim.

Memberi Daging Korban kepada Orang Bukan Islam


Ulama berbeza pendapat dalam hal ini, sebahagian mazhab mengatakannya haram, ada yang mengatakannya makruh dan Mazhab Hanbali, Hanafi mengatakannya sebagai harus kerana ia bukannya sedekah wajib. Namun tiada khilaf, mendahulukan umat Islam adalah lebih utama dalam hal ini.

Berkorban atau Membayar Hutang

Bolehkah seorang yang dibebani hutang bank dan rakan, berkorban sekali setahun demi tawaran pahalanya?.

Justeru, untuk menentukan keutamaan sama ada menjelaskan hutang atau melakukan ibadah korban kita perlu melihat kepada jenis hutang, tempoh janji bayaran semula dan kemampuan orang yang berhutang.

Jika dari jenis hutang yang telah terancang pembayarannya seperti hutang bank dan selepas ditolak semuanya masih ada baki wang, tatkala itu individu tersebut sewajarnya melihat dan memikirkan berkenaan hutang tidak rasmi daripada individu lain atau rakan-rakan serta tempoh yang dijanjikan.

Jika tempoh langsaian hutang masih jauh dan diyakini pendapatan akan datangnya boleh menampung semunya tanggungjawab wajib itu. Di ketika itu  barulah ibadah korban menjadi utama untuk dilaksanakan.

Hal ini amat jelas kerana ibadah korban hanya sunat muakkad sahaja menurut majoriti mazhab mankala melangsaikan hutang dalam tempohnya adalah wajib.

Jika disebabkan ingin berkorban sehingga menyebabkan rakan pemberi hutang pula ‘terkorban', hubungan persaudaraan ‘terkorban', atau hingga menyebabkan pihak bank mengenakan penalti kerana lewat bayar, tidak wajar sama sekali untuk berkorban juga. Keutamaan tetap bagi pelangsaian hutang berbanding berkorban. Demikian pandangan ringkas saya.

Sembelih Korban Guna Ayam

Asal hukum mesti bahimatul al-an’am sebagaimana disebut di dalam al-Quran. Ayam tidak tergolong dalam kategori itu. Bagi mereka yang tidak mampu, gugurkan kesunatan korban daripada mereka. Namun jika mereka ingin menyembelih ayam sebagai ganti, hanya menjadi sedeqah biasa. Diriwayatkan Ibn Abbas pernah membeli daging dengan harga satu dirham dan berkata, “nah, inilah korban Ibn Abbas,” iaitu secara majaz.

Korban oleh Organisasi & Syarikat?

Ramai yang bertanya dan ramai juga yang melakukan amalan ini. Adakah sebuah syarikat boleh mengeluarkan peruntukan tertentu untuk membeli 20 ekor lembu dan berkorban atas nama syarikat?

Jawab ringkas saya - "tidak boleh !" Ibadah korban adalah ibadah yang dilakukan oleh individu tertentu atau untuk individu tertentu. Ibadah ini bukan untuk organisasi yang bukan manusia. Justeru, jika sebuah organisasi ingin melaksanakannya, mesti menghadiahkannya kepada mana-mana Pengarah atau kakitangannya.

Ketika itu, korban barulah sah dan menjadi korban oleh individu yang ditentukan namanya sahaja dan bukan atas nama syarikat. Pihak syarikat terbabit boleh bergilir-gilir menghadiahkan lembu tertentu dan bahagiannya dihadiahkan kepada kakitangan secara khusus untuk dilaksanakan sembelihan atau korban. Pahala korban akan hanya diperoleh oleh individu dan pihak organisasi pula (iaitu pemilik organisasi iaitu manusia) hanya mendapat pahala kerana ‘menghadiahkan' lembu atau bahagiannya kepada kakitangan sahaja.

Jika tidak mahu berbuat demikian, bermakna pihak syarikat mestilah meletakkan secara khusus 20 ekor lembu itu, untuk para lembaga pengarahnya secara khusus juga. Bukan atas nama syarikat, tetapi individu.

Binatang yang Dikongsi

a) Yang boleh dikongsi : Lembu, Unta, Kerbau. Dalilnya dari hadis, yang bermaksud;

  • “Rasulullah berkongsi sewaktu hajinya bersama kaum Muslimin, seekor Lembu dibahagi tujuh bahagian.” (Riwayat Ahmad)
b) Yang tidak boleh dikongsi (Ijma’ ulama): Kambing, kibasy dan sepertinya. Adapun kongsi pahala, terdapat khilaf dan sebahagian mengharuskannya.

Kongsi Pahala Qurban

a) Ketua keluarga diharuskan menyembelih satu bahagian lembu atau kerbau atau unta dan diniatkan pahalanya kepada keluarganya. Hal ini sebagaimana yang dilakukan oleh Baginda Nabi SAW.
b) Namun, untuk kongsi pahala dengan seluruh syarikat atau negara, tidak dilakukan oleh sahabat nabi. Hanya Nabi yang berkorban dan menyatakan "Ini adalah untuk ummatku yang tidak berkorban. Disebutkan di dalam sebuah hadis bahawa Nabi membaca doa ini semasa ingin menyembelih, maksudnya;

“Dengan Nama Allah dan ya Allah terimalah daripada Muhammad dan keluarga Muhammad dan umatnya.

Siapa Patut Mulakan Qurban?


Jawabnya adalah imam di sesuau tempat tersebut dan diikuti dengan orang ramai, demikian sunah Nabi SAW berdasarkan hadis yang bermaksud;
  • “Berkata Ibn Umar r.a.’ ertinya : Nabi melaksanakan sembelihan sedang baginda berada di kawasan solatnya.
Berkata Imam Malik : “Imam menyembelih di kawasan solat dan agar tiada yang menyembelih satu orang pun sebelumnya.”

Selamat menyambut hari raya Aidil Adha 1433 H , semoga korban anda diterima olih Allah s.w.t


http://www.zaharuddin.net.

Monday, 22 October 2012

Foto-foto Ibadah Haji Tahun 1960an

Ibnu Hasyim: Foto-foto Ibadah Haji Tahun 1960an:

IBADAH Haji adalah salah satu ibadah yang paling di idam-idamkan oleh seluruh umat Muslim di dunia, iaitu melaksanakan rukun Islam yang ke 5,. Berikut gambar-gamabar ibadah haji sekitar tahun 1960an.

                                        Gambar airport Jeddah tahun 1960an

                                       Sempadan Kota Makkah Tahun 1960an
 



                                                      Wukuf di Padang Arrafah





                                                    Melempar Jumrah


                                  Bercukur Setelah Lempar Jumrah


                                                                     Tawaf


                                                           Shalat Berjama'ah


                           Pemandangan Para Jama'ah di saat Mengelilingi Ka'bah


                                       Shalat Berjama'ah di Luar Halaman Ka'bah


(SUMBER: IH/MJ/B)

Selamat menyambut hari raya Aidil Adha

Thursday, 18 October 2012

Jumaat Penghulu Segala Hari....

JUMAAT penghulu segala hari kerana kemuliaan dan kelebihannya. Malah, peristiwa agung banyak berlaku pada Jumaat.

Banyak hadis menerangkan kelebihan hari Jumaat, misalnya hadis Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan Abu Hurairah berkenaan penghulu hari, bermaksud:”Jumaat dinamakan sebagai `Sayyidul aiyam’ iaitu penghulu segala hari (hari yang sebaik hari)”.

Daripada Abu Hurairah katanya, Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sebaik-baik hari yang terbit matahari ialah Jumaat. Pada hari itulah Adam diciptakan dan pada hari itulah juga dia dikeluarkan dari syurga. Pada Jumaat juga kiamat akan berlaku. Pada hari itu tidaklah seorang yang beriman meminta sesuatu daripada Allah melainkan akan dikabulkan permintaannya.” (Hadis riwayat Muslim).

Dalam hadis lain, Rasulullah s.a.w bersabda yang ber maksud: “Hari yang dijanjikan ialah hari kiamat, hari yang disaksikan ialah hari Arafah dan hari yang menyaksikan ialah hari Jumaat. Matahari tidak terbit dan tidak terbenam pada mana-mana hari yang lebih mulia dan afdal daripada hari Jumaat. Pada hari itu terdapat suatu masa seorang hamba mukmin apabila meminta (berdoa) kepada Allah sesuatu kebaikan melainkan Allah memakbulkan doanya atau ia meminta Allah melindunginya daripada sesuatu kejahatan melainkan Allah melindunginya daripada kejahatan.” (Hadis riwayat Tirmidzi)

Melalui penerangan itu jelas sekali Jumaat bukan sebarang hari, malah begitu dimuliakan dan sewajarnya ia turut dimuliakan umat Islam.

Solat Jumaat dua rakaat yang difardukan ke atas umat Islam membuktikan hari itu semulia hari yang perlu diambil manfaat untuk mendapatkan ganjaran Allah daripada setiap amal ibadat yang dilaksanakan.
Rasulullah bersabda: “Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat pertama, dia umpama berkorban seekor unta. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat kedua, dia seperti berkorban seekor lembu. Sesiapa yang menghadiri solat Jumaat pada saat yang ketiga, dia seperti berkorban seekor kibas. Sesiapa hadir solat Jumaat pada saat keempat, dia seperti memberi hadiah seekor ibu ayam dan sesiapa hadir solat pada saat kelima, dia seolah-olah memberi hadiah sebiji telur.”
                                                       Gambar hiasan jemaah sedang mengikuti khutbah jumaat

Apabila imam naik ke mimbar, malaikat menutup buku catatannya dan ikut mendengar khutbah. Justeru, sesiapa yang datang untuk solat selepas itu seolah-olah dia hanya datang untuk solat semata-mata, tidak direkodkan di dalam buku kehadiran malaikat.

Umat Islam juga dituntut membuat persediaan sebelum menghadiri solat Jumaat untuk mendapat fadilatnya, ter masuk dalam berwuduk, mandi sunat dan tertib ketika menghadiri solat Jumaat.
Imam Muslim meriwayatkan sebuah hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud: “Sesiapa berwuduk lalu memperelokkan wuduknya, kemudian mendatangi solat Jumaat, terus men dengar dan berdiam diri, tidak berbicara sama sekali, maka diberi tambahan tiga hari lagi. Sesiapa yang memegang kerikil untuk dimainkan sehingga tidak memperhatikan isi khutbah, sesungguhnya dia telah melakukan kelalaian, yakni ber salah.”

Sebelum menunaikan solat Jumaat, dianjurkan mandi ter lebih dulu sebagaimana hadis daripada Ibnu Umar bahawa Rasulullah bersabda, maksudnya: “Jika seseorang antara kalian mendatangi solat Jumaat, maka hendaklah mandi dulu.” (Muttafaq `alaih)

Daripada Samurah, diriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w pernah bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang berwuduk pada Jumaat, maka dengan keringanan itu, bolehlah dilakukan tanpa mandi, tetapi mandi itu lebih utama.” (Hadis riwayat Imam Abu Daud dan Tirmidzi).

Tuesday, 16 October 2012



Fadhilat & Kelebihan melaksanakan ibadah korban

 


korban


1. Keampunan.-
Titisan darah qurban yang pertama adalah merupakan pengampunan bagi dosa-dosa yang telah lalu iaitu sebagai penebus dosa yang telah dilakukan.
‘Imran bin Hushain radhiallahu ‘anhushallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepada Sayyidatuna Fatimah radhiallahu ‘anha: meriwayatkan bahawa Rasulullah
Maksudnya: “Wahai Fatimah! Pergilah ke tempat (penyembelihan) qurbanmu dan saksikanlah ia, sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu adalah merupakan pengampunan bagimu di atas dosa-dosamu yang telah lalu.”
(Hadis riwayat al-Hakim)


2. Kebajikan (hasanah) yang dikurniakan kepada orang yang berqurban adalah sebanyak bulu binatang yang diqurbankan.
Zaid bin Arqam radhiallahu ‘anhu meriwayatkan:
Maksudnya: “Para sahabat Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bertanya: “Wahai Rasulullah! Apakah yang ada pada qurban itu?” Rasulullah menjawab: “Ia adalah sunnah bapa kamu Ibrahim” Mereka berkata: “Apa yang akan kami perolehi darinya wahai Rasulullah?”Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai rambut satu kebajikan” Mereka berkata: “Bagaimana pula dengan bulu wahai Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Bagi setiap helai bulu satu kebajikan.”
(Hadis riwayat Ibnu Majah)

3. Darah qurban yang tumpah ke bumi akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah subhanahu wa ta‘ala.
‘A’isyah radhiallahu ‘anha meriwayatkan bahawa Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:
Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada Hari Raya Qurban yang lebih disukai Allah melainkan menumpahkan darah (menyembelih binatang qurban). Sesungguhnya binatang qurban itu akan datang pada Hari Kiamat bersama tanduk, kuku dan bulunya dan Allah memberi pahala ibadah qurban itu sebelum darah binatang qurban itu jatuh ke bumi. Oleh itu, elokkanlah qurban kamu.”
(Hadis riwayat at-Tirmidzi,Ibnu Majah dan Hakim)

4. Akan memperolehi kenderaan atau tunggangan ketika meniti titian al-Sirat al-Mustaqim di akhirat kelak.
Sabda Nabi Muhammad SAW (maksudnya): “Muliakanlah qurban kamu kerana ia menjadi tunggangan kamu di titian pada Hari Qiamat”.
“Tidak akan sampai kepada Allah daging-dagingnya dan tidak pula darah-darahnya. Tetapi akan sampai kepada Allah ialah ketaqwaan dari kamu. Demikianlah dipermudahkannya korban-korban kepada kamu supaya kamu mengagungkan Allah terhadap hidayah-Nya kepada kamu. Dan hendaklah kamu gembirakan orang-orang yang berbuat kebajikan.” (al-Hajj : 36-37)


Wallahualam.

Monday, 15 October 2012


MENGAPA ISLAM MENGHARAMKAN LELAKI MEMAKAI EMAS




Dari Abi Musa RA bahawa Rasulullah saw bersabda, ”Telah diharamkan memakai sutera dan emas bagi laki-laki dari umatku dan dihalalkan bagi wanitanya..” [HR Tirmizi dengan sanad hasan sahih]

1400 tahun yang lalu, setiap kali perintah Allah SWT turun melalui RasulNya, para sahabat tak pernah bertanya dan langsung melakukannya ketika itu juga. Hampir jarang ada penjelasan ilmiah. Dan biasanya kemudian, pada beberapa ratus tahun lagi tersingkap kebenaran misteri dalam berbagai perintah Rasul itu. Begitu pula dengan larangan lelaki memakai perhiasan dibuat dari emas termasuk emas putih.

Secara medis, inilah fakta kenapa hal itu berlaku dalam Islam. Para ahli fizik telah menyimpulkan bahawa atom pada emas mampu menembus ke dalam kulit dan masuk ke dalam darah manusia. Dan jika lelaki mengenakan emas dalam jumlah tertentu dan dalam jangka waktu yang lama, maka dampak yang ditimbulkan iaitu di dalam darah dan air kencing akan mengandungi atom emas dalam peratus yang melebihi had (dikenali dengan sebutan ” Migrasi Emas “).

Dan apabila ini terjadi, maka akan mengakibatkan penyakit Alzheimer. Alzheimer adalah suatu penyakit dimana orang tersebut kehilangan semua kemampuan mental dan fizik serta menyebabkan kembali seperti anak kecil. Alzheimer bukan penuaan normal, tetapi merupakan penuaan paksaan atau terpaksa. Dan mengapa Islam membolehkan wanita untuk mengenakan emas ? Wanita tidak menderita masalah ini karena setiap bulan, partikel berbahaya tersebut keluar dari tubuh wanita melalui keuzuran.

Fakta: Pakar perubatan di China telah membuat rawatan ‘Negatively Charged Gold Nanoparticles’ untuk mengubati Alzheimer.

Mahabesar Allah. Wallahualam.