Wednesday, 14 November 2012


Bulan-Bulan Islam


1 Muharram bakal menemui kita beberapa hari sahaja lagi. Di kesempatan ini, apa kata kita melihat semula apakah bulan-bulan yang ada dalam kalender Islam. Selain itu, kita akan melihat juga perkara menarik di sebalik setiap bulan.

(Sesungguhnya bilangan bulan pada sisi Allah adalah dua belas bulan, dalam ketetapan Allah di waktu Dia menciptakan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram (Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, Rejab). Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum Musyrikin itu semuanya sebagaimana mereka pun memerangi kamu semuanya, dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa). (Surah Al-Taubah : 36)

Dua belas bulan yang disebut oleh Allah di dalam ayat di atas telah dihuraikan oleh Rasulullah SAW di dalam sebuah hadith yang telah diceritakan oleh Saidina Abu Bakar as-Siddiq r.a bahawa Rasulullah SAW memberikan khutbah ketika ibadah haji dengan berkata:
Ketahuilah bahawa masa berputar seperti mana hari Allah menciptakan langit dan bumi, setahun ada 12 bulan antaranya empat bulan haram, tiga daripadanya berturutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharam dan Rejab yang terletak antara Jumada dan Syaaban. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Bulan dalam bahasa Arab disebut "Al-Syahru" bermaksud bulan yang merujuk kepada bulan-bulan yang terdapat dalam Islam yang dipanggil bulan-bulan Hijriyah. Tarikh Hijriyah Islam yang pertama adalah bermula ketika Nabi Muhammad SAW serta umat Islam telah sampai dan berhijrah ke Madinah. Nama-nama bulan Arab yang telah diiktiraf sebagai bulan Islam dan telah dirasmikan penggunaannya oleh Saidina Umar al-Khattab r.a adalah seperti berikut :

Muharram
Muharam  ertinya diharamkan. Bulan ini merupakan bulan yang termasuk dalam senarai bulan-bulan yang diharamkan berperang.

Safar
Safar adalah bulan ke-2 dalam bulan Islam yang bererti kosong, kerana penduduk Arab ketika itu keluar dari kampung mereka kerana berperang dan mencari makanan sebagai persiapan menghadapi musim panas. Rumah menjadi kosong.

Rabiulawal dan Rabiulakhir
Rabiulawal dan Rabiulakhir ertinya musim bunga iaitu biasanya waktu ini pokok mengeluarkan bunga dan tumbuhan menghijau. Rabiulawal dan Rabiulakhir merupakan bulan Islam yang ke-3 dan ke-4.

Jumadilawal dan Jumadilakhir
Jumadilawal (Jumada al-Awwal)  dan Jumadilakhir (jumada al-Akhir) , merupakan bulan ke-5 dan ke-6. Perkataan Jumada bermaksud kemarau di mana bulan ini merupakan musim kemarau yang bermula pada bulan Jamadilawal dan berakhir pada Jamadilakhir.

Rejab
Rejab adalah bulan ke-7 pula bermaksud mengagungkan dan membesarkan. Menurut sejarahnya, bulan Rejab dimuliakan orang Arab dengan menyembelih anak unta pertama dari induknya. Pada bulan ini dilarang berperang dan pintu Ka'bah dibuka.

Syaaban
Syaaban bererti berselerak/ pecahan yang banyak, di mana pada zaman Arab sebelum Islam mereka keluar bertebaran pada bulan ini setelah terpaksa berkurung di rumah ketika bulan Rejab. Pada bulan ini juga, mereka keluar beramai-ramai mencari air dan makanan.

Ramadhan
Ramadhan merupakan bulan ke-9 dalam kalendar Islam. Ia bererti terik atau terbakar, kerana kebiasaannya pada bulan ini, cuaca sangat terik dan panas di Semenanjung Arab. Dan setelah Islam menapak, bulan ini merupakan bulan puasa bagi umat Islam.

Syawal
Syawal pula dinamakan sempena dengan musim di mana unta kekurangan susu pada waktu ini. Syawal dalam bahasa Arab berasal dari kata kerja Tasyawwala yang bermaksud sedikit atau berkurangan. Manakakala setelah kedatangan Islam, Syawal merupakan bulan peningkatan kebajikan setelah melewati masa latihan pengendalian diri selama sebulan penuh dengan puasa Ramadan. Pada awal bulan Syawal, kaum Muslim merayakan Hari Raya Idul Fitri atau perayaan yang menandai kemenangan melawan hawa nafsu. Syawal merupakan bulan ke-10 dalam kalendar Hijrah.

Zulkaedah
Zulkaedah merupakan bulan ke-11, ia merujuk kepada kebiasaan penduduk Arab zaman sebelum Islam tidak berperang kerana ia termasuk dalam bulan-bulan haram berperang. Perkataan Kaedah itu berasal dari 'Qa 'ada' yakni duduk.

Zulhijjah
Zulhijjah adalah bulan ke-12 dan bulan terakhir Hijrah. Ia disebut Zulhijah (Ar.: Zu al-Hijjah) yang berarti "yang empunya haji". Pada zaman sebelum kedatangan Islam, bulan ini merupakan bulan untuk melakukan ibadah haji ke Mekah (Ka'bah). Setelah kedatangan Islam, ibadah haji masih tetap dilaksanakan pada bulan Zulhijah yakni pada tanggal 8, 9 dan 10 Zulhijah.

- Artikel iluvislam.com

>> Kalender Hijrah

Tuesday, 13 November 2012

Bangkitlah Selepas Bercerai: Apakah itu rumah tangga?

Ustaz Emran Ahmad

IA bukanlah sebuah rumah dan tidak pula tangga yang membawa kita ke tingkat atas. Tetapi, ia adalah satu kata nama bagi merujuk kepada pasangan suami isteri yang telah bersatu di dalam ikatan yang sah lagi halal.

Ikatan inilah yang membezakan antara suami isteri dengan pasangan kekasih. Namun... jika kita boleh bercinta dengan penuh syahdu dan asyik sebelum adanya ikatan yang sah, maka sudah semestinya kita juga boleh melakukan hal yang sama setelah bernikah.

Tetapi... apa yang menghalang kita?

Salah faham mengenai perkahwinan itu telah menyebabkan kita tersilap langkah di dalam menyusun kehidupan rumah tangga. Di dalam Islam, rumah tangga itu boleh dibina oleh semiskin-miskin manusia sehinggalah kepada sekaya-kaya insan kerana ia tidak berkait soal harta, rumah atau tempat tinggal yang mewah.

Ia melibatkan soal perhubungan lelaki dan wanita secara halal serta diikat melalui ikatan ibadat yang dinamakan nikah. Apabila seseorang wanita itu bersetuju untuk menjadi kekasih kepada seseorang lelaki, maka ibu bapanya menyerahkannya dengan mas kahwin semampunya.

Bersamalah mereka menjadi suami isteri atau pasangan kekasih yang halal untuk berbuat apa sahaja di antara keduanya selama dibenarkan syarak.

Begitu mudah Islam ini. Sayangnya, pada hari ini perkahwinan telah bertukar menjadi sebuah momen yang kosong. Teratak indah dibina dengan tujuan untuk bermegah, berbangga atau menjadi tempat bernaungnya si isteri bersama suami... tetapi ia kosong daripada cinta serta kasih sayang. Sebabnya cuma satu... usaha dan aktiviti cinta itu sudah diberhentikan setelah mengikat tali perkahwinan.

Kami telah bernikah. Maka... untuk apa lagi semua itu?

“Telefon siang dan malam, ucapan cinta, kucupan mesra, berpegangan tangan, hadiah ketika hari istimewa dan seumpamanya sudah tidak penting lagi. Mengapa? Sebabnya kami kini sudah bergelar suami isteri dan telah menjadi milik satu sama lain”.

Inilah masalahnya...

Kita beranggapan bahawa perkahwinan itu menjadi penjamin cinta. Kita menganggap jika sudah menikah dan berhubungan badan, maka tiada apa yang perlu ditakutkan kerana si dia sudah menjadi milik yang sah lagi halal. Itulah yang salahnya.

PERKAHWINAN BUKAN JAMINAN KELANGSUNGAN CINTA

Perkahwinan hanyalah alat untuk menghalalkan hubungan lelaki dan wanita supaya menurut syarak. Ia juga menjadi tapak untuk dua insan menjalin perhubungan bagi meneruskan hidup dengan cara yang diredhai ALLAH Maha Pengasih.

Untuk mengekalkan cinta selepas berkahwin, pasangan perlu berterusan menyuap rasa itu dengan pelbagai aktiviti yang dibuat bersama. Inilah yang menjadi pemangkin dalam membawa dan membina kasih sayang.

Namun, apa yang berlaku adalah sebaliknya. Perkahwinan selalunya menjadi pembunuh serta penamat bagi kisah-kisah kebahagiaan dan keseronokan bercinta antara pasangan suami isteri. Malah, ada di kalangan orang muda berpendapat yang bercinta itu lebih seronok tanpa adanya ikatan perkahwinan. Persepsi ini wujud ekoran salah faham terhadap konsep perkahwinan.

Hubungan kelamin dilaksanakan hanyalah sebagai nafkah batin kerana ia suatu kewajipan, bukannya disebabkan oleh keghairahan atau kesukaan pasangan. Isteri tidak lagi berhias untuk suami seperti sebelum berkahwin. Suami pula tidak lagi mempedulikan penampilannya di hadapan isteri sama seperti sewaktu bercinta dahulu.

Anak-anak yang sepatutnya adalah alat pengikat kasih serta cinta bertukar menjadi beban dan tanggungjawab yang memisahkan suami isteri. Masing-masing saling menyalahkan kerana tidak memandang anak-anak sebagai hasil cinta tetapi bebanan dan kewajipan semata-mata. Perbualan yang dahulunya tentang peristiwa manis yang dilalui bersama, kini bertukar menjadi perbalahan bersangkut hak dan tanggungjawab.

Sikap mementingkan diri sendiri bagi pasangan yang berkahwin sama sekali tidak membantu dalam menyelesaikan konflik rumah tangga. Mata hanya memandang salah pasangan. Menjadi kebiasaan bagi mana-mana pasangan yang bertengkar untuk tidak menyalahkan diri sendiri.

Amat sukar sekali untuk kita temui di dalam perbalahan itu ucapan meminta maaf, ungkapan “mari kita cuba sekali lagi” dan percakapan yang berbentuk membina, memperbaiki keadaan atau memberi ruang kepada pembaikan.

Pernah seorang isteri yang didamaikan oleh saya meletakkan banyak syarat kepada suaminya, “Kalau abang boleh buat, beri, ubah sekian dan sekian” maka barulah dia akan menerimanya kembali. Demikianlah juga si suami yang berkata bahawa isterinya ini tidak pandai itu, tidak boleh ini, tidak mampu, tidak pernah dan segala macam tidak.

Mengapa masing-masing hanya melihat kelemahan orang lain?

Ingatlah... di dalam situasi ini, insan yang disalahkan ialah pasangan yang pernah kita lafazkan ucapan cinta, sayang dan tidur bersama sehingga memperolehi zuriat.

Ke manakah hilangnya perasaan cinta itu?

Siapakah dan apa yang telah membawa pergi cinta kalian?

Akhirnya, saya berpesan kepada isteri tersebut supaya membuat beberapa perubahan pada dirinya sendiri. Saya katakan yang pokok pertama kepada kebaikan dan penyelesaian masalah itu terletak pada sabar.

Kesabaran serta ketenangan akan membuahkan hasil lumayan dan membawa kebaikan yang melimpah ruah kepada kita. Ini kerana kita dapat membuat penelitian, kajian dan menilai semula segala perbuatan dengan akal yang tenang, waras serta mampu berbuat sebarang usaha yang difikirkan mampu memperbaiki keadaan rumah tangga.

Adakalanya, punca masalah rumah tangga itu terselindung pada pandangan mata kerana ia berkait dengan hati dan perasaan. Ia tidak semudah pandangan mata yang dapat melihat secara terus. Oleh itu, bersabar dan bertenanglah sambil berusaha mencari punca sebenar kepada permasalahan yang berlaku.

Pada isteri tersebut, saya berpesan supaya mengenang kembali cinta dan kasih kepada suaminya. Juga berusaha untuk memahami perasaan dan kehendak si suami, bukan menyoal siasat segala tindakannya.

Jangan ditanya apakah masalahnya kerana dia bukanlah bos atau pengawai penyiasat polis. Tukarlah rumah itu menjadi pusat ketenangan serta tempat berehat bagi suami dan jadikan dirinya sebagai bidadari yang menghiburkan hatinya.

Pada mulanya dia membantah. Namun, saya mengajaknya untuk mencuba agar bersabar selama sebulan. Alhamdulillah... akhirnya dia pun bersetuju. Dia menuruti nasihat dan tunjuk ajar saya untuk kurang bercakap dengan suami, berlemah lembut, tidak membantah atau berleter sebaliknya lebih banyak mendiamkan diri.

Dia memakai pakaian tercantik yang dimilikinya. Anak-anak diurus atau ditidurkan sebelum kepulangan suami agar masa bersama dapat dimanfaatkan untuk berehat di rumah dalam keadaan tenang dan sunyi.

Di  bilik tidur, dia berhias secantik yang mungkin dan tidak  mengganggu suaminya. Dia tekun membaca buku bertajuk ‘Mencari Pasangan Hidup’ di atas katil tanpa menganggu suami yang kepenatan di sisinya.

Seminggu berlalu...  namun tiada perubahan berlaku. Suaminya masih seperti dahulu, kerap mengunjungi kawannya pada waktu malam atau jarang pulang ke rumah. Setelah hampir sebulan dia mengubah sikapnya, suatu perkara yang mengejutkan telah berlaku.

Pada suatu pagi, tiba-tiba suaminya itu mengajaknya untuk bersama. Dan bermula saat itu, suaminya tidak pergi ke mana-mana. Suaminya semakin jarang menghabiskan masa di luar rumah. Dia kini lebih suka duduk di rumah bersama isteri dan anak-anaknya atau membawa mereka keluar berjalan-jalan.

Wanita itu menghubungi saya dan mengucapkan terima kasih dengan penuh perasaan serta memuji-muji kerana telah membantu menyelesaikan masalah rumah tangganya. Saya menjawab bahawa yang layak dipuji hanyalah ALLAH. Sesungguhnya, kadang-kadang masalah besar yang berlaku adalah disebabkan oleh punca yang kecil...

Sumber Sinar Harian 13/11/2012

Tuesday, 6 November 2012

Cara Kita Pandang Dan Cara ALLAH Pandang


Media seperti TV, Facebook, poster atau mana-mana jenis media sekali pun, apabila mengajak dan mempromosikan mengenai ‘wanita solehah’, pasti gambar wanita cantik yang dijadikan sebagai model.  Jika lukisan, maka dilukiskan wanita-wanita yang berparas cantik sebagai mewakili susuk ‘wanita solehah’.  Tubuhnya langsing, matanya bulat, keningnya rapi, bibirnya mungil, kulitnya cerah, pipinya halus dan sebagainya.

Apabila digambarkan ‘lelaki yang soleh’ pula, maka lelaki yang bertubuh sasa, berwajah kacak, berambut rapi, berhidung mancung, berpakaian bagus, bergaya hebat dan seumpama dengannya dijadikan model.

Itulah pandangan manusia kepada kesolehan manusia. Nilaian manusia terbatas pada zahir yang dilihat mata. Tidak dinafikan bahawa memang nilai sejagat manusia bahawa cantik dan kacak itu sebagai baik.  Sehinggakan jika ada selebriti yang berwajah cantik memakai tudung litup, lalu gambar itu terus dijadikan ikon wanita solehah.  Sedangkan itu hanya lakonan sementara.  Hakikatnya dia bukan begitu.  Bukan seorang yang soleh atau solehah pun.
  
   
  Bukan rupa ukuran kesolehan !

  Maka tertinggallah lelaki-lelaki soleh dan wanita-wanita solehah yang gemuk, gelap, senget, berjerawat, hidung kemek, bibir tebal, sumbing, buta, pekak, cacat dan sebagainya dari perhatian manusia.  Tidak dipandang.  Apatah lagi jika mahu ditampilkan sebagai contoh wanita solehah atau lelaki soleh, tidak mungkin.Itulah senarionya
Salahkah senario ini? Pada saya ia bukanlah salah.  Cuma cara pandang begini tidak tepat.  Secara fitrah memang manusia sukakan kecantikan dan keindahan.  Lalu dikaitkan kebaikan dengan kecantikan dan kesempurnaan.  Yang cantik itu baik.  Begitu juga sebaliknya.

Hatta apabila Jibril `alaihissalam menjelma berjumpa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam pun (merujuk kepada ‘hadith Jibril’), dijelmakan Jibril sebagai seorang lelaki yang sangat kacak, bersih, rapi dan sempurna.  Perwatakan Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul juga begitu sejak dulu.  Kerana tanggapan manusia kepada kebaikan memang begitu.  Psikologi manusia memang begitu…

Apa yang mahu disentuh dalam tulisan ini ialah agar sama-sama kita fikir bahawa tanggapan ini tidak tepat jika dilihat dari pandangan ALLAH Jalla wa A`la.  Secara hakikatnya ALLAH tidak melihat pada paras dan rupa.  Itu bukan nilaian ALLAH.

Nilaian ALLAH tidak begitu.  Nilaian ALLAH tidak sama dengan nilaian manusia.  Zahir rupa dan bentuk bukanlah nilaian ALLAH untuk mengatakan ia soleh, baik, beriman, taqwa atau dekat di sisiNYA.
Bersabda Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam:
قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: ان الله تعالى لا ينظر الى اجسامكم ولا الى صواركم, ولكن ينظر الى قلوبكم. رواه مسلم
“Sesungguhnya ALLAH Ta`ala tidak melihat pada bentuk tubuhmu dan tidak pada rupa parasmu, tetapi DIA melihat pada hatimu.”
(HR Muslim)
Bersabarlah. Walaupun manusia tidak memberikan perhatian kepadamu yang tidak cantik, tidak kacak dan tidak sempurna.  Walaupun pada mereka kamu bukan contoh lelaki yang soleh.  Dan walaupun pada mereka kamu bukan contoh wanita yang solehah.  TETAPI pada pandangan ALLAH Ta`ala kamu sama sahaja dengan manusia biasa.  Semuanya setara sahaja.

Yang membezakan manusia dengan manusia pada pandangan ALLAH ialah TAQWA yang berada di dalam hati.
Tidak kiralah samada cacat atau sempurna, sumbing atau mungil bibir kamu, gelap atau cerah kulit kamu, gemuk atau langsing tubuh kamu, kekok atau bergaya kamu, miskin atau kaya kamu.  Itu semua sama sahaja.  Taqwa yang berada dalam hatilah yang ALLAH `Azza wa Jalla nilaikan.

Justeru, janganlah menilai manusia hanya dengan paras dan rupa.  Dan janganlah kita tertumpu kepada mencantikkan bentuk kita, fizikal kita, rupa kita dan semua yang berbentuk material.  Kerana ia bukan penilaian hakiki.

Sebaliknya, islahkanlah hati kita.  Tumpukan pada usaha untuk mendapatkan TAQWA yang duduknya di dalam hati itu.  Kerana itulah pandangan ALLAH pada kita.  Itulah nilaian kedudukan kita di sisi ALLAH.  Bukannya pada bentuk badan dan rupa paras atau harta.
Sebagai akhirnya, mari kita muhasabah diri kita akan firman ALLAH Ta`ala ini dalam surah asy-Syu`ara, 26: 88-89:
يَوْمَ لَا يَنفَعُ مَالٌ وَلَا بَنُونَ
“Hari (Hari Akhirat) yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun.”
إِلَّا مَنْ أَتَى اللَّهَ بِقَلْبٍ سَلِيمٍ
“Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera.”
Semoga ALLAH `Azza wa Jalla membimbing kita semua dengan hidayah dan taufiqNYA, amin…
Allahu A`lam.
 
muzir.wordpress.com